
"Bertudung busuk dan kotor lebih menyalahi Islam berbanding dengan tidak bertudung!!"
Saya masih termenung. Jari berentak perlahan-lahan menari-nari di atas meja. tanda otak sedang ligat berfikir.
"Tapi doktor, kalau busuk dan kotor yang jadi isu, serangan juga patut dibuat kepada tali leher doktor lelaki. Sebagai lelaki, saya sangat tahu bagaimana kaum lelaki melayan tali leher mereka.Tak pernah dibasuh, dicampak merata-rata, lebih berpotensi menjadi punca jangkitan penyakit berbanding tudung yang jarang dipakai lebih dari sehari," saya menyampuk.
Cakap saya memang gurau-gurau. tapi isinya bukan mainan. Membunuh sikap double standard yang sering berlaku oleh orang kita sendiri terhadap tuntutan agama kita terhadap kita. Tiga kali "kita."
Apa yang pasti tudung busuk lagi kotor atau tidak bertudung, dua-dua tidak Islamik. Apa yang Islamik ialah bertudung dan tudungnya bersih tidak berbau.
Ketika negara "kafir" United Kingdom sudah jauh ke depan dalam menghormati agama, membenarkan aurat dipelihara dalam pasukan beruniform dan perkhidmatan kesihatan, kenapa masyarakat masih lebih Barat daripada barat? Tudung itu budaya atau perintah Allah? Jika ia perintah Allah, di mana Allah dalam prioriti kamu?
SIFIR TULEN VS PALSU
Sifirnya mudah. Kalau ada perempuan yang melampau-lampau keperempuanannya, maka berhati-hatilah. Lenggoknya berlebih-lebihan, solekannya, tebal bagai kulit Kamus Dewan, cakapnya lebih mengada-ada berbanding perempuan gedik, kemungkinan besar dia itu sebenarnya lelaki! Lelaki yang terdesak untuk menjadi perempuan.
Kalau ada lelaki yang melampau-lampau kelelakiannya, maka berhati-hatilah. Jalannya bersepah-sepah berlagak macho, bajunya rugged sehingga kenduri pun mahu bersarung jersi, cakapnya lebih mencarut daripada mat lepak tepi kaki lima, ketahuilah mungkin dia itu sebenarnya perempuan! Perempuan yang terdesak untuk menjadi lelaki.
Kata orang Arab: "Yang mengikut lebih teruk dariapda yang diikut."
Barat itu biasa-biasa sahaja. Yang terdesak mahu menjadi Barat inilah yang berlebih-lebihan. Berlebih-lebihan itu simptom kepalsuan. Fake!
Apabila pelajar Muslim tertindas ketika mahu melaksanakan tuntutan asas agama mereka di tanah air umat Islam sendiri, ia adalah simptom kepada rasa terdesak sesetangah pihak untuk menjadi lebih Barat daripada Barat. Membawa mentaliti Barat pada era latihan perubatannya 30 tahun yang dahulu, tidak melihat kembali kepada bagaimana Barat menghormati hak individu beragama pada hari ini. Islamophobia di tanah air umat Islam sendiri.
PERBANDINGAN SOLAT
"Makcik kalau dah sakit perut sangat, memulas-mulas dan makcik sedang menyiram bunga di tengah-tengah jalan raya, makcik sanggup buang air besar di tangah jalan?" Saya bertanya dengan bahasa provokasi, iaitu bahasa simpanan yang sesekali dibawa masuk ke gelanggang.
"Tak sanggup!" Katanya tegas.
"Habis makcik buat apa?" Saya bertanya lagi.
"Makcik cari jugalah mana-mana semak untuk buang air," katanya.
"Aha, kalau solat ni sama penting dengan urusan yang itupun jadilah!" Saya menamatkan perbualan yang amat "jarang berlaku" itu.
Makcik itu ketawa. Saya tahu dia akan ketawa. Sebab itu saya berani gunakan analogi seteruk itu.
Macam-macam alasan diberikannya bahawa susah untuk solat semasa bekerja. Tetapi kalau buang air besar, tidak sempat pula alasan direka. Boleh sahaja dicari semak samun untuk melepas. Tahu malu! Tetapi kalau solat macam-macam alasan diberi. Tak ada telekung, sejadah tak bawa, kain kotor dan entah apa-apa lagi. Sedangkan semua masalah itu ada jalan keluarnya mengikut peruntukan 'azimah dan rukhsah dalam Islam.
Sama jugalah dengan aurat. Baju lengan panjang kotor, tudung bawa kuman, dan seribu satu alasan untuk menolak pemakaian yang elok menutup aurat di hospital oleh doktor dan jururawat. Semuanya adalah kerana Tuhannya bukan Prioriti yang utama. Sebab itu berani beralasan. Bermalas-malas melakukan perintah Tuhan.
Tali leher yang tidak membawa konotasi agama, hampir tidak pernah saya mendengar kerisauan sesiapa untuk tali itu berjuntai-juntai di sisi pesakit. Selepas tali leher, tali pinggang lelaki, cuba tanya berapa kali setahun dibasuhnya? Semua itu bukan source of infection? White coat, rajin benarkah dibasuh?
Semua itu ada jawapan masing-masing. Tetapi menyerang tudung dan baju lengan panjang, hanya presenting problem. Ada pun masalah yang sebenar pentingkah Tuhan dalam hidup kamu?
Dipetik daripada Majalah Solusi Isu no. 17 oleh Hasrizal Abdul Jamil.



